Search This Blog

Wednesday 13 March 2013

PAS Kedah harus hentikan pembalakan hutan simpan.. - CAP

GEORGETOWN - Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan Kedah menghentikan segera pembalakan dan penerokaan kawasan hutan simpan di Gunung Inas daerah Baling, Kedah kerana ia tidak mendapat kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) dari Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Gesaan itu berikutan Kerajaan Negeri berhasrat meneruskan aktiviti itu walau pun ia melanggar undang-undang dan menimbulkan ancaman ke atas alam sekitar dan kehidupan penduduk tempatan dengan serius. Presidennya, SM Mohamed Idris berkata, CAP membantah keputusan itu dan berharap pihak bertanggungjawab seperti JAS dan Jabatan Perhutanan Negeri bertindak tegas mengenainya.

“Seluas 5,000 hektar kawasan hutan simpan di situ akan dimusnahkan untuk dijadikan kebun getah di bawah Program Pembangunan Ladang Rakyat. “Tinjauan CAP mendapati akibat kegiatan pembalakan dan penerokaan kawasan hutan secara meluas di sini lebih kurang 3,000 penduduk di enam kampung terpaksa berdepan masalah pencemaran sumber bekalan air kegunaan harian mereka,” katanya di sini, semalam.

Beliau berkata, antara kampung yang terlibat ialah Kampung Iboi, Kampung Bok Bak, Kampung Cherok Kapas, Kampung Cherok Mas, Kampung Hangus dan Kampung Jerai. Manakala sungai yang turut terancam ialah Sungai Celak an lima anak sungai berhampiran.

“Masalah pencemaran bekalan air di sini serius berlaku sejak setahun yang lalu. Setiap hari terutama pada musim hujan penduduk terlibat terpaksa menggunakan air yang keruh, berkelodak dan berlumpur. “Keadaan itu bukan saja engecewakan mereka tetapi amat bimbang akan menghadapi berbagai penyakit kerana menggunakan air yang kotor dan tercemar itu,” katanya.

SM Mohamed berkata, kejadian pencemaran bekalan air penduduk luar bandar di Kedah akibat kegiatan pembalakan bukanlah kali pertama berlaku. “Masalah tersebut sebelum ini pernah terjadi di Hutan Simpan Teloi daerah Sik, Hutan Simpan Bukit Perak daerah Pendang dan Hutan Simpan Kekal Gunung Bongsu daerah Kulim.

“Kesan dari aktiviti pembalakan itu dianggarkan beratus ribu hektar kawasan tadahan air telah musnah. Oleh itu CAP bimbang dengan kegiatan rakus ini bukan saja boleh menjejaskan sumber bekalan air pada masa akan datang tetapi juga akan turut menggugat sektor pertanian dan kehidupan petani di negeri ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment